NILAI – “Tong kitar semula atau tong sampah?,” itulah persoalan yang timbul apabila melihat tong kitar semula yang telah dijadikan tong sampah di Pusat Kemudahan Pelajar (PKP), USIM ini.    

        Perbuatan tersebut dipercayai dilakukan oleh segelintir pelajar yang melalui kawasan tersebut.         

        Menurut Suria Murshidi, 30, jurujual Koperasi USIM berkata, sudah hampir setahun tong tersebut diletakkan di sini namun bukan barang kitar semula di dalamnya tetapi diisi dengan sampah oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab.

        “Saya sering ternampak pelajar membuang resit ke dalam tong tersebut selepas mengeluarkan wang dari mesin ATM yang berhampiran,” ujarnya.

        Tambah beliau lagi, tong tersebut juga dijadikan tempat membuang sampah oleh pelajar yang melalui laluan tersebut.            

        Menurut Biro Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar, Muhamad Shazan Bin Suhaimi, 22, berasa kecewa dengan sikap pelajar yang tidak beretika ini.           

        “Saya kesal kerana asas didikan agama yang dipelajari sejak di peringkat sekolah tidak dipraktikkan dan mereka menganggap boleh melakukan apa sahaja setelah berada di universiti,” ujar beliau.

        “Perbuatan sedemikian tidak seharusnya berlaku di kalangan mereka yang bergelar mahasiswa,” tambahnya lagi yang akan mengutarakan masalah tersebut kepada pihak atasan.

        Menurut seorang pelajar, Noor Syahadah Binti Yaziz, 22, perbuatan tersebut melambangkan mereka tidak mempunyai kesedaran sivik.“Tindakan pelajar sedemikian bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah mencerminkan  sikap pelajar yang tidak bermoral,” katanya lagi.

        Sementara itu, menurut seorang lagi pelajar, Mohd Alhafiez Bin Muda, 23. setiap pelajar perlu lebih prihatin dan peka dengan keadaaan sekeliling. 

        “Pelajar perlu lebih bertanggungjawab bagi mengatasi masalah tersebut dan berperanan menyedarkan masyarakat dan bukannya menunjukkan sikap sedemikian,” katanya yang turut kesal dengan tindakan segelintir pelajar yang tidak bertanggungjawab itu.