Pengenalan   

   

            Merokok sudah menjadi perkara biasa dalam senario dunia kini. Merokok, semua orang tahu akan kesan buruk perbuatan tersebut kerana kini segala informasi tentangnya mudah diperoleh. Malah pada kotak rokok itu sendiri pun turut ditulis amaran bahaya rokok.  Walau bagaimanapun segalanya dipandang sepi, di mana-mana sahaja kita boleh melihat pelajar termasuklah perempuan berbangga dengan rokok yang tersepit di hujung jari. Malah mereka juga menganggap semua ini ‘cool’, nampak trendy, ada style dan sebagainya. Bukan itu sahaja, angka 4.2 juta orang meninggal dunia kerana rokok yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia(WHO) pada tahun 2002 juga langsung tidak menggerunkan mereka.  Kaji selidik yang dilakukan oleh Global Youth Tobacco Survey mendapati 20% daripada pelajar yang berumur 13 tahun hingga 15 tahun adalah perokok, manakala remaja yang bawah 18 tahun yang merokok juga meningkat sehingga 20% (Sumber: Berita Harian, 4 November 2006).

 

      Pihak kerajaan semakin tegas menghapuskan amalan tidak sihat ini menerusi ‘Kempen Tak Nak’ yang rancak dijalankan. Kempen anti merokok selama lima tahu yang dilancarkan pada 9 Februari 2004 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menelan belanja sekitar RM100 juta atau RM20 juta setahun diharapkan dapat menanamkan kesedaran dalam diri perokok tentang bahaya yang bakal bertandang.      

     

     Info mengenai rokok

            Rokok mengandung kurang lebih 4000 elemen-elemen, dan setidaknya 200 diantaranya dinyatakan berbahaya bagi kesihatan. Racun utama pada rokok adalah tar, nikotin, dan karbon monoksida. Tar adalah substansi hidrokarbon yang bersifat likat dan menempel pada paru-paru. Nikotin adalah zat adiktif yang mempengaruhi saraf dan peredaran darah. Zat ini bersifat karsinogen dan boleh menyebabkan kanser paru-paru yang mematikan. Karbon monoksida adalah zat yang mengikat hemoglobin dalam darah, membuat darah tidak mampu mengikat oksigen.  

               

             Dadah jenis nikotin yang memberi rasa ‘umph’ pada rokok. Dalam sebatang rokok terdapat 0.5 hingga 2.0 mg nikotin dan ini bergantung kepada cara ia diproses. Nikotin boleh menyebabkan ketagihan lebih berbanding dengan alkohol (arak) atau dadah kokain. Nikotin juga turut mempengaruhi perilaku seseorang sehingga merosakkan individu dan masyarakat dari segi kesihatan atau sebaliknya. Tambahan pula merokok atau penggunaan tembakau menepati beberapa ciri pergantungan.   

   

            Mengikut satu kajian, dalam masa tiga bulan 70 peratus daripada mereka yang berhenti akan ketagihan semula. Keadaan ini juga sama dengan penagihan heroin atau alkohol. Laporan daripada Centres for Disease Control and Prevention di Amerika Syarikat pada tahun 1994, mendapati lebih kurang 70% daripada penduduk negara itu berhasrat untuk berhenti merokok manakala satu pertiga cuba untuk berhenti setiap tahun. Namun hanya 2.5% sahaja daripada perokok yang berjaya menghentikan tabiat tersebut. International Union Against Cancer pula melaporkan bahawa paling kurang 30% yang berhenti merokok telah mengulangi tabiat merokok mereka. Kegagalan ini berlaku disebabkan pergantungan kepada dadah nikotin. 

               

      Kenapa pelajar IPT merokok, adakah ‘trendy’,’stylo’ atau ‘pendek nyawa’?

             Ramai yang mengakui apabila sudah terjebak dengan rokok sukar untuknya  berhenti. Hidup rasa tak sempurna, rasa tertekan, resah, gelisah dan sebagainya adalah antara alasan popular yang sering diberikan. Dalam pada itu, ada juga perokok yang mengakui mereka masih boleh mengawal diri untuk merokok apabila perlu serta sekadar untuk suka-suka sahaja. Mereka juga dikenali sebagai ‘social smoker’ ataupun ‘passive smoker’ yang hanya merokok ketika bersama tema-teman atau berhibur di pusat-pusat hiburan sahaja.  

    

             Terdapat beberapa kes yang telah membuktikan betapa teruk dan gilanya tabiat merokok di kalangan budak sekolah. Sahlah ketagihan merokok di kalangan pelajar IPT kini sudah menjadi semakin kronik dan bertambah parah dari hari ke sehari.      

 

 

             Menurut Syed Ali Habibilah Syed Muhammad, 21, pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah(POLISAS), jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik, tahun tiga, merupakan bekas perokok tegar pada sebelum ini, tabiat merokok memang menjadi habit kebanyakan pelajar IPT pada masa kini.  

   

             “Saya mula belajar merokok ketika berumur 18 tahun. Pada mulanya saya mengambil rokok sebab inginkan keseronokan dan sekadar ingin mencuba. Kemudian terpengaruh dengan ajakan kawan-kawanlah yang membuatkan saya menjadi seorang perokok tegar. Kata mereka, rokok boleh hilangkan segala tekanan dan membuatkan seseorang nampak lebih berlagak sebab masa tu dah jadi senior paling tua kat sekolah. Sejak daripada tu, saya mula jadi ketagih. Kalau dulu, dalam sehari, saya boleh habiskan sekotak rokok (14 batang) tapi kini hanya sebatang atau dua batang sehari. Namun, disebabkan faktor kesihatan dan mendapat sokongan kuat daripada ‘family’, serta orang yang tersayang, saya mula sedar dan berazam untuk berhenti merokok. Namun, saya masih belum ada kekuatan sepenuhnya untuk berhenti tapi saya nekad akan cuba meninggalkan secara beransur-ansur,” ujar Syed menceritakan pengalamannya.

      

              Apabila ditanya tentang faktor pelajar universiti mengambil rokok, Syed berpendapat itu adalah satu ‘trend’ di kalangan pelajar IPT.   

  

             Manakala menurut Mohd Syahnor Zakaria, 24, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), tahun empat, mnerupakan seorang perokok tegar sehingga kini.   

  

             “Saya ‘start’ merokok sejak tingkatan dua lagi. Pada mulanya saja nak mencuba tapi lama-lama jadi ketagih pulak. Dalam sehari, saya menghabiskan  20 ke 25 batang, namun bila ‘time depress’, saya pernah menghabiskan 30 batang sehari,”ujar Shahnor pula.      Apabila ditanya sama ada pelajar IPT mengambil rokok disebabkan satu ‘trend’ atau ‘stylo’ atau ‘pendek nyawa’, beliau berpendapat ianya adalah disebabkan ‘stylo’. Pada kebiasaannya, pelajar IPT yang merokok adalah bermula sejak di bangku sekolah lagi. jarang sekali mereka berjinak dengan rokok ketika di IPT, oleh sebab itu, mereka menganggap  dengan menghisap rokok boleh membuatkan mereka bertambah ‘macho’.

 

 

Persepsi terhadap pelajar IPT merokok

             Saban hari kita didedahkan dengan pelbagai implikasi dan kesan akibat daripada tabiat merokok. Namun kebanyakannya hanya memandang kosong bagaikan tiada apa yang akan berlaku ke atas diri mereka. Menyentuh tentang faktor kebanyakan pelajar IPT merokok, Prof Madya Dr Saedah Abdul Gahni, 58, seorang pensyarah dalam bidang kaunseling, menyifatkan terdapat beberapa faktor.   

  

             “Sesetengahnya adalah disebabkan mereka tertipu dengan helah dan pujuk rayu daripada kawan-kawan yang mengatakan merokok boleh menghilangkan ‘stress’. Manakala sesetengahnya pula mengambil rokok  disebabkan melihat ibu atau bapanya merokok mungkin sejak dari kecil, maka timbul satu keinginan dalam diri mereka untuk mencuba. Selain itu, ada kalanya ianya merupakan satu habit sejak mereka masih kanak-kanak lagi. Namun tidak kurang juga disebabkan sikap ingin mencuba dan ingin tahu bagaimana perasaan setelah mengambil rokok,” jelas Saedah. 

       

             Apabila ditanya mengenai cara mengatasi masalah pengambilan rokok di kalangan pelajar IPT, beliau mengatakan kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi membendung masalah sedemikian. 

     

             “Pada pandangan saya, mungkin mereka boleh berjumpa dengan ahli psikologi ataupun kaunselor untuk membantu mereka mengurangkan tabiat merokok. Hal ini kerana ahli psikologi mempunyai rawatan psikologi secara khusus bagaimana untuk menghilangkan tabiat merokok,” ujar Saedah.

     

             “Justeru itu, pihak universiti juga boleh memperbanyakkan lagi kawasan-kawasan larangan merokok ataupun tidak memberi ruang langsung kepada perokok-perokok apabila berada di kawasan universiti. Hal ini boleh mengurangkan peluang pelajar IPT untuk mengambil rokok dan sekaligus mengajar mereka mengurangkan jumlah pengambilan rokok dalam sehari. Hal ini sedikit sebanyak dapat memberi impak positif dalam diri mereka untuk tak nak merokok secara beransur-ansur,” tambah beliau lagi. 

 

 

        “Selain itu, pihak Kementerian Pendidikan mungkin boleh memberi pendedahan kepada pelajar tentang bahaya rokok bermula darpada peringkat awal lagi iaitu ketika mereka masih di bangku sekolah rendah. Di samping itu, pihak Kementerian Kesihatan juga perlu memperbanyakkan ceramah atau kempen tentang bahaya merokok dari segi kesihatan.  

    

             Apabila ditanya mengenai masalah pengambilan rokok juga berlaku di kalangan pelajar perempuan, Encik Mohd Rosly Mohamad, 31, Penolong Pengarah II, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, berpendapat memang tidak dapat disangkal lagi,terdapat peningkatan bilangan perokok remaja dalam negara kita pada hari ini. Data menyatakan bahawa perokok paling muda bermula di bangku sekolah rendah lagi, seawal usia lapan tahun. Maklumat ini diperoleh melalui Kementerian Pendidikan serta pertemuan dengan para kaunselor di sekolah-sekolah yang mengesahkan gejala merokok ini semakin menular bukan sahaja di kalangan pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan peringkat sekolah rendah dan menengah.    

 

 

              “Zaman sekarang masyarakat semakin terbuka. Mereka sudah boleh terima perempuan yang merokok dan lelaki pula ada yang sudah boleh terima pasangan yang merokok. Masyarakat pada hari ini sudah terlalu terikut-ikut dengan budaya barat. Oleh sebab itu, semua pihak seharusnya mengambil langkah tegas bagi membendung masalah ini agar tidak menular sehingga ke generasi seterusnya. Pada saya kebanyakan pelajar IPT pada hari ini terlalu mengikut ‘trend’ kononnya untuk menjadi pelajar yang maju dan mengikut arus peredaran zaman,”ujar Mohd Rosly. 

        

             Menyentuh tentang didikan agama yang bermula daripada peringkat awal mampu mempengaruhi pergaulan seseorang pelajar itu, Mohd Fahmi Abdullah, 22, pelajar tahun tiga Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), USIM mengakui kebenaran tersebut.

 

 

      “Pada saya apabila ada asas didikan agama yang kuat dalam diri seseorang pelajar itu, hal ini boleh membantu mereka dalam membuat sesuatu tindakan, sama ada sesuatu tindakan itu wajar, berfaedah atau sebaliknya,” ujar Mohd Fahmi.  

 

 

Apakah bahaya merokok?

 

             Merokok boleh menyebabkan ketagihan. Terdapat 40 jenis penyakit yang di kaitkan dengan merokok iaitu penyakit jantung, kanser peparu, radang pernafasan, strok, paru-paru kembang, kerencatan bayi, keguguran, reput tulang (osteoporosis), kemandulan, ulser perut dan beberapa kanser lain. Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya menyebabkan penyakit kanser. Peratusan merokok haruslah dikurangkan kerana merokok akan menyebabkan jangka hayat seseorang perokok berkurangan. Satu daripada dua perokok akan mati lebih awal oleh kerana penyakit yang berkait dengan merokok. Merokok juga membunuh hampir 5,000 rakyat Malaysia setiap tahun.

     

             Merokok pada mulanya bermula akibat ingin tahu, namun bila kesan nikoton dalam rokok memberi kesan menjadi ketagihan. Kesan-kesan buruk dikaitkan dengan merokok adalah barah paru-paru, kelelahan akibat COAD dan emphysema,sakit jantung iskaemia, kerosakan pada salur darah spt peripheral vascular diseases, kanser pundi kencing,air mani tidak normal, lemah ingatan, jika mengandung anak boleh terbantut perkembangan, meningkat risiko kecederaan pada anak yang di kandung, risiko kerosasakan sistem pernafasan pada bayi atau anak kecil, risiko menghidap berbagai jenis barah atau kanser meningkat. 

 

 

  Kesimpulan

 

 

             Sememangnya zaman remaja adalah detik yang penuh pancaroba. Perjalanan mencari identiti membuatkan ramai remaja teringin untuk mengetahui perkara-paerkara baru sekaligus mendorong mereka untuk mencubanya. Namun, biar apa pun alasan mereka, remaja tetap merupakan generasi yang akan meneruskan pembangunan bangsa pada masa akan datang. Oleh sebab itu, maslah ini perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak dan ditangani secara komprehensif kerana permasalahan moral dan kesihatan mereka ini akan mengancam kualiti mahupun kuantiti remaja. Secara amnya, ramai yang menganggap merokok adalah amalan yang mudah. Merokok merupakan tabiat yang digemari ramai tidak kira umur, pangkat dan jantina. Walau apa pun alasan seseorang itu merokok, yang jelasnya, ia merupakan satu tabiat yang mendatangkan pelbagai kemudaratan terhadap kesihatan mereka. Oleh itu cara terbaik yang boleh dilakukan ialah melalui pencegahan awal iaitu menanam kesedaran dan mengelak sama sekali daripada merokok.