Disiplin? Adakah disiplin itu penting dalam kehidupan manusia? Disiplin boleh ditakrifkan sebagai peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang agar berkelakuan baik. Apabila kita menyentuh tentang kemerosotan disiplin, secara spontan kita akan tertumpu kepada golongan pelajar. Jelas terbayang di fikiran kita pelajar ponteng sekolah, bertumbuk dan menghisap rokok. Namun, dewasa ini, pelajar bukan sahaja berani melanggar disiplin sekolah malahan ada di antara mereka yang terlibat dengan kegiatan jenayah seperti menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi anggota kongsi gelap. Adakah disiplin di kalangan pelajar hari ini telah merosot? Jikalau ianya benar, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memulihkannya kembali dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan disiplin di kalangan pelajar merosot. Disiplin itu sangat penting dalam membentuk peribadi, moral dan akhlak yang tinggi di kalangan para pelajar agar dapat menjadi teraju pemimpin suatu hari nanti.

        Sudah lumrah alam, apa yang disekat itulah yang paling suka dicuba. Ekoran daripada itulah, berlakunya perkara yang tidak diingini. Rasa ketidakpuasan pelajar membuatkan naluri pelajar memberontak dan mengambil tindakan yang mengikut perasaan. Inilah yang dikatakan sikap ego pelajar yang mengatasi rasa hormat pada orang lain mahupun diri-sendiri. Mereka merasakan diri mereka telah sempurna dan tidak perlu lagi diperbetulkan dan tidak mahu mengikut kata orang lain. Sentiasa kita dengar dari mulut para pelajar yang menyatakan mereka tidak tahan dikongkong oleh disiplin yang ketat di sekolah, menyebabkan mereka tidak dapat melakukan sesuatu dengan bebas, dengan kemahuan dan kemampuan yang ada pada mereka. Kebanyakan pelajar menganggap peraturan-peraturan dan disiplin  yamg ketat di sekolah adalah hukuman bagi mereka. Kebebasan memanglah perlu dan ia adalah hak setiap individu tetapi ia juga harus disekat dan dijaga supaya tidak terjadinya perkara yang tidak diingini. Jangan kerana mahukan kebebasan yang lebih, hidup merana akhirnya.

        Setiap hari ada sahaja masalah disiplin membabitkan pelajar sekolah dilaporkan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menanganinya. Masalah itu meninggalkan kesan terhadap institusi pendidikan dan guru, kredibiliti mereka dipertikaikan kerana gagal membentuk disiplin dan sahsiah pelajar. Pihak yang paling teruk menerima kritikan ialah guru disiplin dan kaunselor yang sebelum ini dikatakan mampu membantu mencorakkan imej positif dan menyelesaikan masalah sahsiah pelajar. Kegagalan itu menimbulkan persoalan, apakah fungsi guru disiplin dan kaunselor selama ini, adakah mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna atau apakah kekangan yang menyebabkan mereka gagal bertindak mengikut keperluan semasa?

        Naib Pengerusi Disiplin Sekolah Zon Sentul, Kuala Lumpur, Syed Khairul Azwi Syed Mokhtar, berkata kegagalan guru disiplin dan kaunselor menangani disiplin pelajar bukan disebabkan kelemahan mereka, tetapi sikap lepas tangan segelintir pihak. Menurutnya, masyarakat hanya menyerahkan tugas membentuk sahsiah pelajar kepada guru padahal ibu bapa sepatutnya mengambil tanggung jawab lebih besar. Terdapat kira-kira 327,000 guru di negara ini iaitu 58.2 peratus di sekolah rendah dan 41.8 peratus di sekolah menengah sedangkan jumlah pelajar ialah 6.3 juta orang di seluruh negara pada tahun lalu.

        “Selagi skeptikal itu tidak diubah, selamanya pandangan masyarakat terhadap fungsi guru disiplin dan kaunselor negatif. Jika gagal, natijahnya akan diterima guru dan institusi persekolahan. “Tanggung jawab mendidik pelajar bukan tugas satu pihak saja, malah membabitkan semua pihak terutama ibu bapa. “Tidak adil menuding jari pada kami semata-mata kerana masalah disiplin memerlukan pemantauan luas. “Dengan jumlah guru disiplin dan kaunselor yang kecil tentu sukar melaksanakan tanggung jawab menangani disiplin pelajar,” kata beliau.

        Antara masalah disiplin pelajar lelaki di sekolah ialah pergaduhan, merokok, ponteng dan buli manakala perempuan lebih berkaitan emosi seperti teman lelaki. Sebagai contoh, kes yang berlaku pada 10 Mei 2003, Kuantan, iaitu seorang penuntut Universiti Utara Mlaysia (UUM), Sintok meninggal dunia setelah dipercayai meminum racun rumpai kerana kecewa dengan teman lelakinya, yang meminta untuk memutuskan hubungan mereka. Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mendapati, pembabitan pelajar sekolah dalam kes jenayah semakin serius. Sebanyak 1,996 pelajar ditahan kerana terbabit dalam 881 kes jenayah bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2003. Berikut adalah kronologi beberapa kejadian serius yang dilaporkan kepada pihak berkuasa sekitar tahun 2002-2004:

·  29 Mac 2002: Seorang pelajar sekolah swasta di Johor Bharu, Gan Bo Teek,15 cedera parah akibat dibelasah oleh kira-kira 10 orang lelaki kerana enggan menyertai kumpulan samseng.

·  25 Julai 2002:  Seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Nilai dimasukkan di Wad Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seremban setelah dibelasah oleh seorang pelajar lain.

·  23 Mei 2003: Seorang pelajar Tingkatan Dua cedera di bahagian belakang pinggang dan kaki setelah dibelasah oleh lima orang pelajar lain di hadapan surau sekolah tersebut.

·  14 Ogos 2003: Seorang pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Mohd Hafizi Jamhari kehilangan buah pinggang akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan.

·  29 Ogos 2003: Seramai 20 orang pelaajr Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh, Perak disingkirkan kerana cuba menghidupkan kembali budaya samaseng yang dikenali sebagai “High council” di sekolah asrama penuh itu.

·  21 September 2003: Seorang pelajar lelaki Kolej Matrikulasi, dekat Masjid Tanah, Alor gajah, Melaka dibelasah teruk oleh 12 orang pelajar lain kerana  dikatakan membocorkan “rahsia besar” kegiatan mereka ‘menceroboh’ dan ‘mengintai’ di asrama perempuan.

·  23 Oktober 2003: Seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Jalan Jelutong, Pulau Pinang cedera di bahagian muka selepas dibelasah oleh 10 orang pelajar dalam satu pergaduhan, di kawasan sekolah tersebut.

·  31 Oktober 2003: Seorang pelajar, Ahmad Firdaus Zakaria,15 maut selepas tiga hari koma di Hospital Port Dickson akibat dipukul oleh sekumpulan pelajar dengan objek tumpul di kepalanya.

·  9 November 2003: Lima pelajar Kolej Yayasan Melaka (KYM) yang tinggal di Asrama Pantai Feringgi, Melaka cedera akibat dibelasah oleh lapan orang pelajar yang marah kerana ditegur bermain mercun berhampiran asrama itu.

·  18 Novenber 2003: Seorang pelajar cedera selepas dibelasah oleh 20 orang pelajar lain dalam pergaduhan sejurus selepas mengambil kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Kuala Terengganu.

·  28 Mac 2004:  Seorang pelajar Muhammad Farid Ibrahim dari Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor di Negeri Sembilan meninggal dunia akibat dibelasah teruk oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan.  

·  27 Julai 2004: Seorang pelajar sekolah dekat Seri Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan, patah rusuk kanan sehingga mencederakan paru-parunya selepas dipercayai dipukul oleh kira-kira 30  orang pelajar di asrama lelaki sekolah itu.

Jika kita lihat pada hari ini, begitu banyak insiden-insiden yang berlaku di kalangan pelajar dan telah mengejutkan banyak pihak. Insiden ini juga perlu menyedarkan dan membuka mata semua pihak bahawa masalah disiplin di sekolah merupakan satu masalah yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Banyak faktor yang mendorong pelanggaran disiplin di kalangan pelajar sekolah. Faridah (1989), membahagikan faktor-faktor ini kepada dua faktor iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Faktor luaran yang berkecenderungan mempengaruhi kes-kes pelanggaran disiplin ialah faktor status sosioekonomi, masyarakat, rakan sebaya, lokasi sekolah, keluarga dan faktor sekolah itu sendiri. Hubungan antara faktor dalaman dan luaran adalah saling mempengaruhi ke atas tingkah laku disiplin pelajar.

 

Faktor kekeluargaan banyak mempengarui disiplin anak-anak. Didikan agama yang sempurna daripada ibu bapa secara langsung dapat membentuk peribadi dan disiplin anak-anak. Dengan didikan agama yang sempurna, anak-anak akan tahu tentang perkara-perkara yang disuruh dan yang ditegah oleh agama. Proses pembesaran anak-anak yang melibatkan perubahan aspek fizikal dan mental akan menjadi lebih sempurna dengan memiliki pegangan agama yang kukuh. Di samping didikan agama yang sempurna, memberikan kasih sayang yang secukupnya, mengambil berat hal-hal yang berkaitan dengan pembelajaran anak-anak dan seumpamanya, berupaya membentuk disiplin anak-anak dengan sempurna. Melalui cara-cara tersebut anak-anak akan merasakan diri mereka disayangi dan bagi terus merasai sifat tersebut mereka harus patuh kepada didikan ibu bapa mereka. Ibu bapa harus sedar, jika kasih sayang yang diberi kepada anak-anak melebihi hadnya, akan timbullah perkara-perkara negatif yang menjadikan anak-anak ‘naik tocong’. Oleh yang demikin pemberian kasih sayang haruslah mempunyai batasnya dalam hal membentuk disiplin anak-anak.

 

Selain itu, faktor pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam  pembentukan disiplin para pelajar. Seorang pelajar dapat membentuk disiplin yang baik dalam diri rakannya melalui memberi nasihat, serta tunjuk ajar kepada rakannya itu. Memilih kawan adalah faktor yang penting, jika ynag berdisplin dipilih, maka  kita juga akan berdisiplin. Jika yang tidak berdisiplin dipilih, maka kita juga akan mempengaruhinya. Pelajar yang beriesiplin, beriman dan sedar akan tanggungjawab diri sudah pasti akan mewujudkan satu situasi yang harmonis lagi tenteram. Sebaliknya pelajar yang tidak berdisiplin, bermoral rendah dan bersikap negatif sudah pasti akan menyusahkan orang ramai malah memporak- perandakan kehidupan mereka sendiri.

             ‘DEMAM’ masalah disiplin pelajar ini seolah-olah berlaku secara berkala tiga tahun sekali. Jika anda masih ingat, masalah ini mendapat perhatian serius pada 1997 dan menjadi polemik hangat ketika itu. Gejala gangsterisme dikatakan bersarang di beberapa sekolah menengah di negara ini. Bukan calang-calang jenayah yang dilakukan oleh pelajar kerana ia melibatkan pembunuhan, pengedaran dan penagihan dadah, rogol, memukul guru, menonton video lucah dan sebagainya. Seriusnya masalah ini telah mendorong Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia membiayai Kementerian Pendidikan menghasilkan laporan `Kajian Gangsterisme Di Sekolah Menengah Harian’. Kajian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan itu menyiapkan laporannya pada 1997. Kajian melibatkan 329 buah sekolah mengikut zon dan melibatkan kos pembiayaan penyelidikan RM41,782.40. Tiada cadangan luar biasa yang dikemukakan oleh laporan ini bagi menyelesaikan masalah gangsterisme di sekolah selain mengingatkan kembali betapa perlunya kita kembali berpegang kepada peraturan-peraturan yang sedia ada. Seperti biasa, penglibatan masyarakat, ibu bapa dan guru dilihat sebagai instrumen penting bagi mengatasi masalah ini daripada terus merebak.

            Tiga tahun selepas itu iaitu pada tahun 2000, masalah gangsterisme, samseng dan disiplin pelajar dibangkitkan semula. Menurut kajian, satu pertiga daripada bilangan sekolah harian di negara ini terdedah kepada bahaya kegiatan samseng atau gangsterisme. Ketika itu, cadangan paling popular selain cadangan-cadangan lain yang lebih bersifat retorik ialah memberikan kuasa polis tambahan atau Auxilliary Police Power (AP) kepada guru. Mengikut cadangan itu, guru disiplin diberi kuasa polis tambahan (AP) mengikut Seksyen 8, Akta Polis 1967, iaitu mereka yang memiliki kuasa AP mempunyai bidang kuasa yang sama seperti anggota polis lain. Cadangan itu bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan kerana tiadanya sokongan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). AP dikhuatiri menghakis fungsi sekolah sebagai institusi yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk pelajar menjadi manusia yang berguna. Kehadiran `polis’ walaupun hanya dalam bentuk kuasa dilihat sebagai satu pendekatan menghukum dan dikhuatiri membawa impak psikologi negatif kepada pelajar yang dikenakan tindakan. Kerana kuasa polis yang diberikan kepada seseorang guru, masyarakat akan lebih melihat seseorang pelajar itu `dihukum polis’ dan bukan dihukum guru. Ini membawa impak psikologi yang negatif kepada seseorang pelajar. Bagaimanapun tiadanya unsur-unsur `menghukum’ ini dilihat sebagai menjadi punca kepada berulangnya masalah ini tahun ini.  

        Unsur-unsur mendidik seolah-olah tidak berkesan lagi dalam berhadapan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah. Buktinya, tahun ini, sekali lagi, masalah disiplin pelajar menjadi tumpuan. Lebih membimbangkan, kes-kes yang dilaporkan tahun ini berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) yang selama ini menjadi sanjungan dan dihormati masyarakat sebagai sekolah untuk pelajar terpilih. Kejadian di Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) Ipoh dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) benar-benar mencemar imej sekolah berasrama penuh di negara ini. Seperti sebelum ini, pihak Kementerian Pendidikan khususnya lebih melihat perkara masalah ini sengaja dibesar-besarkan oleh media walaupun pada masa yang kementerian tersebut mengakui 76,300 pelajar terbabit dengan masalah disiplin. Mungkin apabila dilihat dalam bentuk peratus iaitu kira-kira hanya 1.09 peratus berbanding tujuh juta pelajar di negara ini, Kementerian Pendidikan melihatnya sebagai tidak serius. Mungkinkah kita perlu nekad untuk menggunakan AP bagi membendung masalah ini daripada terus berulang. Melihatkan kepada tahap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar ini, AP dirasakan sangat perlu kerana berlembut nampaknya bukan lagi pendekatan terbaik. Bagaimanapun, bagi golongan pendidik dan mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi persekolahan tidak bersetuju dengan pendekatan `enforcement’ ini. 

        Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azizan Asmuni yang melihat AP sebagai satu pendekatan `enforcement’ berkata, adalah lebih sesuai pendekatan mendidik digunakan dalam menangani masalah ini. Bagi beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Seri Petaling berkata, adalah lebih baik tumpuan sekarang diberikan kepada perubahan sikap. Perubahan sikap itu pula bagi Dr. Azizan bukan sahaja terhadap pelajar, tetapi juga semua pihak. Bagi pelajar, mereka perlu mereka perlu sentiasa dididik dengan nilai-nilai murni dan disedarkan betapa perlunya mereka menghindari gejala-gejala yang tidak sihat. Selain itu bagi Dr. Azizan, tanggungjawab membendung masalah disiplin pelajar ini tidak harusnya dibebankan di bahu guru disiplin atau guru kaunseling semata-mata.              

        Jika kita lihat persekitaran sekolah kini, apa yang dibimbangi oleh Dr. Azizan ini ada betulnya. Wujudnya jawatan khas guru kaunseling yang ditugaskan sepenuh masa untuk menguruskan hal-hal ehwal pelajar ini seolah-olah mewujudkan tembok pemisah antara guru biasa dengan guru kaunseling. Hampir semua sekolah mempunyai guru kaunselingnya yang mempunyai bilik khas dan tidak dibebankan dengan tugas mengajar. Mereka mempunyai kelulusan khas dalam bidang kaunseling dan psikologi manusia. Keadaan ini mungkin mewujudkan satu situasi di mana guru-guru biasa akan menganggap, pelajar yang bermasalah bukan di bawah tanggungjawab mereka. Serah sahaja kepada guru kaunseling.                       

        “Seharusnya semua guru di sekolah perlu bekerjasama memantau pelajarnya terutamanya pelajar-pelajar yang dikesan bermasalah dan bukannya dilepaskan kepada guru kaunseling atau guru disiplin semata-mata,” kata Dr. Azizan.              

        Menganggap masalah disiplin pelajar hanya tugas guru kaunseling dan guru disiplin perlu dikikis. Semangat guru yang tugasnya membentuk keperibadian murni di kalangan pelajarnya tidak harus dibatasi kepada apa mata pelajaran yang diajarnya. Pendidikan moral dan nilai-nilai murni bukan hanya tugas guru kaunseling dan guru Pendidikan Moral. Ia tugas hakiki semua yang bergelar guru. Ini penting jika sekolah mahu terus mempertahankan peranan dan fungsinya sebagai sebuah institusi mendidik.  

Justeru itu, masalah pelanggaran disiplin sekolah di kalangan pelajar adalah perkara yang perlu difikirkan secara serius dan terperinci memandangkan mereka merupakan bakal pemimpin negara. Negara memerlukan bakal pemimpin yang mempunyai keperibadian yang mulia untuk merealisasikan Wawasan 2020. Disiplin diri dikalangan pelajar adalah juga bertujuan untuk menjadi satu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal, progresif dan bertatasusila. Untuk melahirkan disipin yang baik di kalangan pelajar, kerjasama dan perhatian yang sepenuhnya dari semua pihak adalah perlu tidak kira sama ada pihak pengetua, guru-guru, ibu bapa, rakan-rakan , masyarakat sekeliling dan pelajar itu sendidri. Tidak ada jalan yang terbaik untuk mengatasi masalah disiplin selain daripada keinsafan yang lahir daripada hati pelajar yang benar-benar ikhlas. Para pelajar sekalian, ingatlah, zaman remaja adalah zaman yang penuh cabaran dan rintangan yang berlaku. Tanpa disiplin yang baik sudah pasti pelajar-pelajar akan terkandas di tengah jalan. Dengan itu, marilah kita sama-sama meningkatkan prestasi kita dalam semua perkara. Remaja hanya sekali dalam hidup dan ianya tidak akan berulang untuk kali kedua, jadi marilah kita sama-sama pastikan zaman remaja kita adalah zaman yang bermakna dalam hidup dan pastikan diri kita berada dalam kategori remaja yang berdisiplin. Insya Allah.

About these ads